KUALA LUMPUR 9 Jan. - Ibu bapa atau penjaga dilarang sama sekali membawa masuk topi keledar atau peralatan yang boleh mendatangkan kemudaratan ke sekolah.

Itu antara 23 perkara yang terkandung dalam Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga yang dicadangkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) kepada Kementerian Pendidikan bagi membolehkan kod tersebut dilaksanakan serta-merta.

Presiden NUTP, Kamarozaman Abd. Razak berkata, daripada 23 perkara tersebut, 15 daripadanya adalah garis panduan yang mesti dipatuhi dan selebihnya adalah garis panduan yang mesti dihindari.

“Garis panduan ini dikuatkuasakan bertujuan menjamin keselamatan guru-guru dan murid-murid di semua institusi pendidikan negara ini.

“NUTP hanya mencadangkan dan kami tiada tarikh khusus untuk melaksanakannya, semuanya bergantung kepada Kementerian Pendidikan untuk menguatkuasakan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga itu,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar khas tentang Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga di sini hari ini.

Antara dua garis panduan lain yang dicadangkan termasuk ibu bapa perlu merujuk kepada pengetua atau guru besar jika mempunyai sebarang masalah dengan guru-guru mengenai anak mereka.

Selain itu, turut dicadangkan adalah ibu bapa atau penjaga supaya tidak menyalahgunakan atau menghantar mesej berunsurkan ancaman seperti teks, emel, mel suara, telefon atau lain-lain komunikasi bertulis serta media sosial seperti Facebook. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: Utusan Online
© Utusan Melayu (M) Bhd